Chelsea Benam Portsmouth 5-0

chelsea

PORTSMOUTH, England – Chelsea memintas kedudukan Arsenal dan kembali menggugat Manchester United selepas membelasah Portsmouth 5-0 ketika Liga Perdana England yang menyaksikan saingan tiga penjuru semakin menghampiri penghujungnya.

Kemenangan, semalam meletakkan kelab London itu 68 mata, satu mata di belakang penyandang juara, United tetapi mengatasi kelebihan jaringan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada 3 April ini di Old Trafford.

Arsenal pula mengumpul 67 mata di tangga ketiga dengan ketiga-tiga pasukan ini masih mempunyai baki tujuh perlawanan lagi untuk dihabiskan.

Sementara itu, Tottenham Hotspur yang mara ke separuh akhir Piala FA selepas menang 3-1 ke atas Fulham, kelmarin masih kekal tangga keempat.

Manchester City pula masih kurang dua mata selepas tewas 0-2 kepada Everton.

Apa pun, pengurus Blues, Carlo Ancelotti masih enggan mengaku kalah dengan aksi tidak menentu Chelsea di akhir musim.

Pada perlawanan, semalam Didier Drogba dan Florent Malouda masing-masing menjaringkan dua gol pada pertemuan tersebut.

Ia sekali gus membuang dua mimpi ngeri pasukan tersebut selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara apabila dikalahkan Inter Milan dan mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertandang ke Blackburn.

Ancelotti berkata, Chelsea mungkin akan kembali ke landasan tepat jika kelab bimbingannya itu berjaya menewaskan Aston Villa di Stamford Bridge, Sabtu ini.

“Pasukan ini memerlukan kemenangan dan saya berharap saat duka kami sudah pun berakhir.

“Kami harus menanti sehingga Sabtu ini kerana ia adalah perlawanan sangat penting kepada kelab ini.

“Pasukan ini telah kehilangan keyakinan pada minggu lalu. Meskipun begitu, kami kembali mempamerkan aksi permainan bola sepak yang baik dan ia satu perkhabaran baik buat kami di masa depan.

“Persembahan seumpama hari ini (semalam) memberi kami keyakinan. Pasukan ini masih mempunyai misi di peringkat Liga Perdana England dan Piala FA.

“Kami masih mempunyai lapan atau sembilan perlawanan untuk menamatkan persaingan liga bagi musim ini. Justeru, kami perlu mengekalkan semangat seumpama ini.

“Dalam pada itu, pasukan ini juga memerlukan sedikit bantuan daripada nasib yang baik bagi menghasilkan jaringan pertama.

“Namun begitu, selepas jaringan pertama, kami berjaya mengawal perlawanan dan mempersembahkan permainan cantik,” kata pengurus Chelsea dari Itali itu.

Chelsea hanya pernah kehilangan satu mata daripada 13 perlawanan terdahulu Liga Perdana England ketika menentang Portsmouth.

Namun pada pertemuan kelmarin, Blues memerlukan sedikit bantuan daripada pasukan lawan bagi menghasilkan jaringan pertama, ketika mana perlawanan separuh masa pertama berbaki 13 minit.

Nasib malang Portsmouth bermula apabila penjaga golnya, David James keluar dari kawasannya untuk menyepak keluar bola sepakan lambung pemain tengah Blues, Deco.

Namun, penjaga gol England itu melakukan kesilapan apabila tendangan yang cuba dilakukannya sekadar mengenai angin dan membolehkan Drogba menyepak masuk, ketika gawang Portsmouth terbuka luas.

Gol pembukaan tersebut menyemarakkan semangat Chelsea memburu kemenangan bergaya apabila Malouda menjaringkan dua gol selepas itu dan disusuli gol keempat menerusi percubaan cantik Drogba.

Pemain tengah England, Frank Lampard melengkapkan malam bergaya Chelsea apabila menjaringkan gol menerusi tandukan pada masa kecederaan. – Agensi

Popularity: 2%

Subscribe to Comments RSS Feed in this post

One Response

  1. komen testing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*