Kebelakangan ini nama pelakon serta pelawak Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil telah menjadi perbualan hangat dalam industri hiburan tanah air. Ini ekoran isu saman RM2juta oleh pihak SDAF Pictures (M) Sdn Bhd kepada Nabil gara-gara tindakan mengkritik filem lakonannya sendiri, ‘Lu Pikirlah Sendiri De Movie’.
Belum reda isu samannya, Nabil telah dituduh berkhalwat dengan kekasihnya, pelakon Irma Hasmie. Isu ini timbul apabila kelibat Nabil sering kelihatan di rumah Irma di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta pada tahun 2008. Sebelum ini Nabil dan Irma pernah mencetuskan kontroversi dengan aksi peluk di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Aksi spontan Nabil itu cukup mengejutkan banyak pihak apatah lagi ia disiarkan secara langsung di televisyen.
GUA berpeluang bertemu Irma pada Sidang Media Parti HIP TV di Sunway Pyramid baru-baru ini dan kesempatan ini GUA ambil untuk bertanyakan tentang isu-isu yang melanda perhubungan mereka.
Apa perkembangan Irma sekarang?
Irma masih lagi menjadi pengacara untuk program ‘Galaksi’ di TV9. Sekarang baru habis menjalani penggambaran ‘Gerak PGM’ untuk TV9, telemovie ‘Ngompol’ untuk Astro dan ‘Sesuatu Yang Tertinggal’ terbitan Grand Brilliance. Selain itu drama ‘Aliff Firdaus’ sedang ditayangkan di TV3.
Bagaimana hubungan Irma dengan Nabil?
Alhamdulillah, hubungan kami berdua baik seperti biasa. Berjalan dengan lancar.
Sejauh mana kebenaran yang kononnya anda berdua akan bertunang dalam masa terdekat?
Setakat ini belum ada apa-apa perancangan lagi.
Adakah anda berdua ada membuat perancangan untuk tamatkan zaman bujang?
Niat memang ke arah itu cuma mencari masa yang sesuai. Kami perlukan persediaan rapi dari banyak aspek, contohnya dari segi tanggungjawab dan kewangan. Selain itu, Nabil masih perlukan sedikit masa untuk kukuhkan kerjayanya dan saya perlu menghormati keputusannya.
Komen Irma apabila Nabil disaman RM2 juta oleh pihak SDAF.
Tentang kes tersebut saya tidak mahu komen. Ianya dah melibatkan dua pihak yang menggunakan khidmat peguam. Mungkin kita boleh tunggu perkembangan dari mereka nanti.
Sebagai kekasih, apa yang Irma lakukan untuk menyokong Nabil?
Susah senang dia, ‘I always there for him’. InsyaAllah.
Selepas insiden peluk di ABPBH, timbul pula isu Irma dituduh berkhalwat. Apa komen Irma tentang isu ini.
Sekali lagi saya jelaskan yang saya tidak ditangkap khalwat. Saya tidak melakukan perkara terkutuk, Alhamdulillah. Saya sentiasa beringat rezeki yang Allah beri dan dugaan-Nya.
Sebagai ‘public figure’, kenapa Irma masih berani membenarkan Nabil datang ke rumah sedangkan Irma tahu masyarakat/jiran setempat pasti akan melihat dan berkata?
Saya tak nafikan dia ada datang menjemput dan menghantar saya pulang bila kami keluar. Tapi dia tidak masuk ke dalam rumah dan melakukan perkara terkutuk. Sebagai ‘public figure’, kita sedia maklum memang sentiasa diperhati, yang penting kita tahu kita tidak melakukan perkara yang salah. Dan saya selalu beringat yang Tuhan lebih awal memerhati kita dari kita lahir ke dunia ini lagi.
Adakah Irma mempunyai masalah dengan jiran-jiran?
Saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan jiran-jiran saya. Tetapi saya tidak tahulah kalau ada jiran-jiran saya yang bermasalah dengan saya. Jadi saya ambil kesempatan di sini untuk memohon maaf jika ada yang tidak berpuas hati dengan saya. Mungkin mereka boleh datang terus berjumpa dengan saya. Saya ikhlas.
Adakah Nabil masih datang berkunjung ke rumah Irma selepas isu tangkap khalwat ini timbul?
Seperti yang saya katakan tadi, dia tidak masuk ke rumah. Saya tahu batas-batasnya. Saya masih tahu membezakan perkara baik dan buruk. Saya tidak melakukan perkara seperti yang dikatakan. Jangan terpengaruh dengan perkataan yang buruk dan ungkapan yang keji yang dikatakan, sebab kata-kata itu justeru akan menyakitkan orang yang mengatakannya.
Bagaimana reaksi keluarga Irma tentang isu khalwat ini?
Secara tak langsung perkara ini menganggu perjalanan dan emosi keluarga saya. Saya sayang keluarga saya, dan saya tidak mahu mereka risau atau berkecil hati dengan perkara-perkara yang tidak benar. Jadi, tolong jangan tabur fitnah. Hormatilah nama baik insan lain. Jangan main maruah orang.
Adakah Irma rasa tuduhan berkhalwat ini satu konspirasi untuk menjatuhkan kerjaya Irma dan Nabil?
Saya tak pasti. Tetapi jika benar, hapuskanlah sikap dengki itu.
Harapan Irma dengan apa yang berlaku.
Saya harap keluarga saya juga bersabar, bertawakal dan serahkan segala urusan kepadaNya seperti mana saya yakin dengan ujian diturunkan. Yakin bahawa dunia ni merupakan tempat yang penuh dengan cubaan, kesedihan dan kesulitan. Dan kesulitan itu dapat memberi pendengaran, penglihatan, hidupkan hati, mengingatkan kita pada Tuhan dan menambah pahala. Saya tidak menganggap setiap dugaan yang terjadi itu satu beban, ianya adalah ujian dari Allah. Semua saya lalui dengan redha, bukan satu masalah untuk dianggap sebagai tekanan.
Sumber : GUA
Popularity: 14%
