SHAH ALAM, 10 MAY 2010 : Anggota polis berpangkat koperal yang terbabit dengan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, kerana terkena tembakan dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian remaja itu.
Tertuduh, Jenain Subi,48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim M Gunalan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memakai kemeja T berwarna kuning dan oren serta berseluar jeans didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid dengan niat hendak menyebabkan kematian dan melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Kejadian berlaku di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, manakala tertuduh diwakili Salim Bashir.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan kes.
Turut berada di mahkamah ialah isteri tertuduh yang kelihatan sedih apabila berjumpa suaminya.HMETRO
Popularity: 3%
